Monday 23 February 2015

Sultan Muhammad V

Kisah Sultan menyamar seperti 'orang biasa' bantu rakyat jadi bualan

Azyyati AhmadAstro Awani | Kemas kini:Disember 31, 2014 
(Diterbitkan pada: Disember 31, 2014 08:57 MYT)

Tindakan Sultan Muhammad V mendapat pujian dan menjadi kebanggaan anak Kelantan.

KUALA LUMPUR: Di media sosial, rata-rata memuji sikap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang mencemar duli membantu mangsa banjir tanpa sebarang protokol rasmi.

Kisah Sultan Muhammad V disebut ramai dek kerana kesanggupan Baginda turun padang tanpa ada pemberita mahupun pengiring.

Menurut sumber, rakyat sendiri tidak menyedari kehadiran Baginda kerana dilihat ‘seperti orang biasa’ ketika membantu mangsa banjir.

"Baginda juga menerima arahan daripada seorang Mejar. Sewaktu berhenti rehat, Baginda turut minum dalam cawan polisterin dengan petugas lain”

“Bila ditanya dari mana. Baginda hanya menjawab ‘orang sini’ dan bila disapa mengatakan wajahnya persis Sultan Kelantan, Baginda hanya tersenyum”

"Setelah menyedari yang disapa itu benar Sultan, terus orang tersebut memohon maaf kerana tidak tahu yang baginda adalah Sultan Muhammad V”

"Baginda hanya tersenyum malah memeluk orang itu. Tergamam Mejar yang ada dekat situ, kekok terus untuk memberi arahan”

Itu adalah antara cerita yang tersebar mengenai baginda yang menjadi buah mulut ramai.

Malah dalam satu lawatan, Baginda turut dilihat memandu sendiri kereta pacuan empat rodanya ke lokasi penempatan mangsa banjir.

Tindakan Baginda mendapat pujian dan menjadi kebanggaan anak tempatan Kelantan.

Terdahulu, titahnya dalam teks yang diedarkan kepada media, Baginda berkata mahu seluruh rakyat menjadikan alam sekitar sebagai sahabat baik kerana musibah banjir yang berlaku ketika ini mempunyai hubung kait dengan perbuatan manusia.

No comments:

Post a Comment